Tuesday, May 02, 2006

ABDUL FATAH KARIM, AMN

Abdul Fatah Karim merupakan pelopor utama dalam pembangunan kurikulum simfoni orkestra di Malaysia. Beliau telah diberi tanggungjawab untuk merancang muzik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan di samping itu memainkan peranan aktif sebagai jurulatih violin kepada peserta terawal sebagai inisiatif kerajaan tesebut.

Lahir di Kota Bahru Kelantan pada 10 Februari 1935, Abdul Fatah Karim mendapat pendidikan asas bermain alat muzik violin di bawah asuhan Abdullah Bohari. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran muzik di Royal Academy of Music London dalam bidang violin, simfoni dan pimpinan orkestra (conducting) dari tahun 1967 hingga 1973.

Sekembalinya pulang ke Malaysia Abdul Fatah bertugas sebagai pensyarah di Maktab Sultan Idris, Perak pada tahun 1973, dan kemudiannya ditukarkan ke Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1978, di mana beliau bertugas sebagai Pengarah Muzik.

Semasa bertugas di kementerian berkenaan, beliau telah mempelopori pelbagai kegiatan muzik seperti Kem Muzik Kebangsaan, Bengkel Muzik Remaja ASEAN di mana beliau telah dilantik menjadi pengarah kem dan konduktor jemputan di bengkel pertama, dan Kem Muzik Remaja Dunia. Selepas mengikuti kursus orkestra remaja di United Kingdom dan sekembalinya ke Malaysia beliau telah mengasaskan pembentukan Orkestra Simfoni Muda pada tahun 1982, yang bertujuan mendidik dan melatih bakat-bakat muzik yang muda dalam persiapan untuk menubuhkan Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Di atas sumbangan beliau yang luas dalam bidang muzik, Abdul Fatah telah dianugerahkan Australian Cultural Award pada tahun 1977 dan 1981, ASEAN Award (Cultural Communication – Literary Work) pada tahun 1990, dan dikurniakan pangkat Ahli Mangku Negara (AMN) dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

No comments:

Post a Comment