Tuesday, May 02, 2006

AHMAD JAAFAR

Seorang pencipta, penggubah lagu dan ahli muzik Singapura, Ahmad Jaafar dilahirkan pada 30 Ogos 1919 di Binjai, Sumatera Utara. Minat beliau terhadap bidang muzik berputik sejak muda lagi. Semasa beliau berumur enam tahun, beliau mula belajar bermain perkusi (dram) dan kemudiannya bermain dengan pancaragam panggung wayang yang mengirinng tayangan filem bisu (silent film).

Didikan formal bagi Ahmad hanya bermula apabila beliau belajar bermain biola dengan bapa saudaranya. Kemudian ketika berusia 15 tahun, Ahmad menggunakan kemahiran baru yang diperolehinya untuk menyertai sebuah pancaragam di bawah naungan Sultan Langkat pada waktu itu. Sambil berkhidmat dengan pancaragam tersebut, Ahmad mendapat didikan muzik yang lebih lanjut daripada ketua pancaragam, Darus Omar. Beliau mendapat pekerjaan di Great World Cabaret apabila diperkenalkan dengan Osman Ahmad. Pada tahun 1938, Ahmad berjaya menjadi pemain klarinet dengan pancaragam Simfoni Belanda, White Society, yang bertapak di Medan. Apabila Perang Dunia Kedua tercetus, Ahmad menubuhkan kumpulan teater yang menjelajahi Sumatera dan diarahkan membuat persembahan teater bagi memperkembangkan propaganda Jepun. Dengan berakhirnya perang, beliau terpaksa mencari pekerjaan baru dan ini telah mendorong Ahmad dan isterinya, Sutinah untuk berhijrah ke Singapura, di mana mereka membuat persembahan di kelab malam, konsert, radio serta sessionist untuk beberapa rakaman. Di Orkes Singapura, Ahmad bermula dari pangkat rendah dan terus maju ke pangkat pemimpin orkestra pada tahun 1965, jawatan yang dipegang oleh beliau sehingga bersara pada tahun 1981. Beliau menubuhkan kombo yang diberi nama Rayuan Kencana, dan juga dikenali di Radio Malaya dan sehingga kini masih diingati kerana komitmen beliau kepada Radio Televisyen Singapura (RTS), di mana Ahmad menjadi ketua orkestra stesyen tersebut selama 15 tahun sehingga bersara pada tahun 1992.

Ahmad telah menggubah beberapa lagu kegemaran ramai era masa kini, misalnya Ibu, Selamat Hari Raya, Hujan Lebat dan Tiada Berita. Dipercayai Ahmad hanya menggubah 80 buah lagu tetapi bilangan gubahan dan susunan muzik amat banyak, termasuk beberapa gubahan untuk orkestra simfoni yang dipersembahkan dalam rancangan Malam Irama Malaysia anjuran Radio Malaysia pada tahun 1960an.

Ahmad juga telah dianugerahkan beberapa pingat penghormatan sebagai menghargai sumbangan beliau dan ini termasuk Singapore Administrative Star (Bronze) dan Culture Medallion Award (Silver).

No comments:

Post a Comment