Tuesday, May 02, 2006

OSMAN AHMAD

Salah seorang penggubah lagu yang sering dikaitkan dengan era emas filem Melayu yang dihasilkan oleh Shaw Brothers adalah Osman Ahmad. Sebagai pengarah muzik Malay Film Production (MPF) Studio Orchestra, Osman Ahmad telah menulis skor dan lagu untuk hampir 40 buah filem, dan antara yang terkenal adalah Lela Manja.

Berasal dari golongan yang kurang berada di Arab Street, alat-alat muzik awal yang dimiliki beliau merupakan serunai buluh dan gitar kadbod yang dibuat sendiri.
Kemudiannya sebagai seorang bapa muda, Osman seringkali memegang dua pekerjaan – sebagai pembaca meter dengan Majlis Perbandaran di siang hari dan sebagai pemuzik di waktu malam. Sebagai ahli Royal Star Opera, beliau banyak membuat persembahan di bandar-bandar besar. Pada masa itu juga beliau telah menubuhkan kumpulan bangsawannya sendiri, Madam Bangsawan. Namun begitu kumpulan tersebut terpaksa dibubarkan kerana gagal mendapat keahlian yang secukupnya.

Selepas pendudukan Jepun (1942 – 1945), opera bangsawan diganti dengan industri perfileman yang kian berkembang pesat dan Osman diminta untuk menyertai MFP Studios sewaktu indusrtri filem Melayu mula mendapat sambutan. Daripada hanya sebagai seorang pemuzik, beliau belajar menggubah lagu sehingga terpilih menjadi ketua orkestra MFP. Beliau menggubah lebih daripada 40 buah lagu tema untuk filem termasuk filem klasik Lela Manja. Kebanyakan lagu gubahan beliau dinyanyikan oleh penyanyi popular ketika itu seperti Nona Asiah, Julia Lina dan A. Rahman (ayah kepada R. Ismail), sementara proses rakaman dijalankan di His Master’s Voice di MacDonald House, yang kemudiannya dikenali sebagai EMI Studio. Di sini, beliau berganding bahu dengan para penggubah MFP seperti Yusoff B, Ahmad Jaafar, dan P. Ramlee. Antara lagu gubahan beliau ialah Berhati Lara, Gadis Teruna, Hati Gelisah dan Dayung Sampan (semuanya dalam filem Aloha pada tahun 1950), Juwitaku Sayang, dalam filem Pembalasan, Malamku Bermimpi, dan Seri Dewi Malam.

Adalah dipercayai Osman Ahmad telah menggubah ratusan lagu disepanjang hayatnya. Namun hanya 36 lagu di bawah nama beliau. Lagu-lagu Osman Ahmad seperti “Pengantin Bersanding” dan “Kasih Ibu” telah diguna dalam buku teks “Rakyat Yang Baik”, sementara banyak lagi yang dirakamkan di bawah label HMV (His Master’s Voice). Sungguh pun zaman mudanya susah, Osman Ahmad telah berjaya mencapai kemuncak kerjayanya berkat keazaman yang kuat. Beliau meninggal dunia pada 30 November 1964.

No comments:

Post a Comment