Tuesday, May 02, 2006

SAIFUL BAHRI

Dilahirkan di Payakumbuh, Sumatera Barat pada 19 September 1924, Saiful telah mendapat pendidikan awal dari Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO) di Kayutaman, Sumatera Barat. Semasa di MULO, bakat muzik Saiful amat menyerlah di mana beliau telah menubuhkan sebuah pancaragam. Selepas berhijrah ke Jakarta untuk mencuba nasib, beliau telah berjaya menjadi pemimpin Orkes Studio Jakarta dari tahun 1950 hingga 1960.

Pada tahun 1960, bersama-sama dengan rakan-rakan artis seperti dengan seperti Titiek Puspa, Bing Slamet, Mochtar Embut dan Sam Saimun, Saiful telah mengunjungi tanah Melayu dan membuat persembahan dibeberapa lokasi. Lawatan Saiful ke Malaysia telah meninggalkan kesan berpanjangan ke atas dirinya dan menglihamkannya untuk menggubah lagu popular Semalam di Malaya, dan seterusnya beliau menjadikan Malaysia sebagai kediaman tetap.

Setelah menetap di Malaysia, Saiful telah dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Penerangan pada waktu itu, Senu Abdul Rahmandan kemudiannya dinakikan pangkat menjadi Pengarah Muzik Filem Negara Malaysia memandangkan kemahirannya dalam bidang seni muzik. Sepanjang perkhidmatannya di Filem Negara Malaysia hinggalah beliau bersara pada tahun 1975, Saiful telah menggubah dan menyusun banyak lagu patriotik termasuk Malaysia Berjaya, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Senjakala. Lain-lain lagu terkenal ciptaan Saiful adalah Dewi Manja, Surat Tak Bernama, Kenangan Masa dan Fajar Harapan. Beliau juga banyak terlibat dalam penciptaan lagu terbitan filem-filem terbitan N.V. Perfini, Golden Arrow dan Bintang Surabaya. Beliau meninggal dunia di Tokyo pada 5 Disember 1976.

1 comment:

  1. Satu info menarik pasti berguna untuk Warga Malaysia

    ReplyDelete