Tuesday, May 02, 2006

ZUBIR SAID

Dilahirkan pada 22 Julai 1907 di daerah Minangkabau di Sumatera. Anak sulung daripada enam adik-beradik adalah anak kepada penghulu Mohamad Said Bin Sanang.
Zubir Said atau Pak Zubir berminat terhadap bidang muzik sejak muda lagi. Ibu beliau merupakan isteri pertama yang meninggal ketika Zubir baru berusia tujuh tahun. Zubir mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah Belanda dan lebih menunjukkan minat kepada bidang muzik berbanding subjek akademik lain, walaupun mendapat tentangan ayahnya. Namun Zubir tetap dengan minatnya dan mula belajar mengenai Solmisasi iaitu sistem muzik solfa yang menggunakan sistem not muzik bernombor daripada guru pengakapnya sementara rakan sekelasnya di sekolah rendah mengajarnya cara bermain dan membuat flut. Sejurus sebelum masuk ke sekolah menengah, beliau belajar bermain gitar dan gendang daripada rakan-rakan dalam persatuan keroncong. Namun begitu, bakat dan keinginan beliau ditentang hebat oleh ayahnya. Ayahnya mengharapkan Zubir dapat menggantikan tempatnya sebagai penghulu kampung, tetapi hampa apabila Zubir menjadi ahli kumpulan keroncong kampung mereka. Menyedari beliau tidak dapat memenuhi hasrat ayahnya, Zubir meninggalkan kampung halamannya bersama kumpulan keroncong tersebut dan mengikuti persembahan di seluruh Sumatera. Beliau kemudian diberitahu tentang Singapura oleh seorang kelasi dan mengambil keputusan untuk mencuba nasib sebagai seorang pemuzik di sana. Beliau kemudiannya menetap di Singapura.

Setibanya beliau di Singapura pada tahun 1930an, Zubir menjadi pemain biola dengan The City Opera, sebuah kumpulan Bangsawan yang masyhur. Pemain biola kumpulan tersebut yang sudah berumur meminjamkan Zubir biola dan mengajar Zubir membaca not muzik baluk. Memandangkan Zubir seorang pelajar yang teliti dan tekun, beliau dapat menyalin semua skor muzik yang pernah dimainkan dengan kumpulan tersebut dalam not bernombor dan not baluk pada masa yang singkat. Beliau akhirnya menjadi ketua pancaragam. Ketika Perang Dunia Kedua tercetus, Pak Zubir dan isteri yang berusia muda pulang ke Sumatera dan hanya kembali ke Singapura pada 1947. Tidak lama selepas itu, Pak Zubir menjadi pemimpin Orkestra Shaw Brothers’ Malay Film Production pada 1949, dan kemudiannya sebagai penggubah skor untuk filem Melayu di Cathay Keris Film Productions dari 1952 hingga 1964.

Sebagai penggubah yang penting dan disanjungi di zamannya, Pak Zubir dianggap oleh ramai orang sebagai penggubah jiwa Melayu yang sebenar. Beliau menggubah lagu bersifat tradisional, tetapi masih berunsur moden dan patriotik, diungkap dengan mesej sejarah dan erti kemelayuan. Wartawan A. Samad Ismail pernah berkata bahawa Pak Zubir dan rakan senimannya dari Minangkabau telah mengocakkan ombak kesedaran kebangsaan dalam dekad bersejarah 1950an.

Pengiktirafan bagi Pak Zubir tercapai apabila kerajaan Singapura mengarahkan beliau menggubah lagu kebangsaan, Majulah Singapura, dan beberapa lagi lagu-lagu rakyat yang bersifat patriotik, termasuklah Semoga Bahagia yang menjadi lagu tema bagi Hari Kanak-Kanak dan Pesta Remaja Singapaura. Pak Zubir juga telah diminta menggubah lagu kebangsaan Tanah Melayu yang baru sahaja mencapai kemerdekaan tetapi ini tidak terlaksana kerana ketidaksefahaman yang timbul di antara beliua dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman.

Pak Zubir yang dianggap sebagai guru kepada ramai penggubah terkemuka di rantau ini, misalnya P. Ramlee dan Wandly Yazid, telah menerima banyak pujian dan anugerah daripada kerajaan dan badan-badan seni di Singapura. Namun beliau dikenali ramai sebagai seorang yang merendah diri dan tidak pernah megah dengan pencapaiannnya. Tidak diketahui bilangan sebenar lagu yang telah digubah oleh Pak Zubir setakat kematiannya pada tahun1987 namun ada yang menjangka bilangannya menjangkau 1,000 lagu, termasuk lagu-lagu terkenal seperti Sayang Disayang dan Telaga Biru.

No comments:

Post a Comment